Tuesday, January 6, 2015

AIMAN ANAK DISLEKSIA (PART 1)

Salam sejahtera buat semua pembaca blog mamadanialdania. Saya doakan anda semua sentiasa berada di bawah rahmat dan kasih sayang Allah S.W.T. Semoga hari-hari yang mendatang sentiasa diselimuti kebahagiaan.



Mama menerima semua kekurangan ini dengan redha kerana
kau segalanya untukku
 
Hari ni saya nak kongsi bersama anda semua kisah anak sulung saya. Namanya Muhammad Danial Aiman tapi kami panggil Aiman je. Berumur 10 tahun dan telah  didiagnos mengalami Disleksia pada umur 7 tahun.


Aiman sewaktu berumur 7 tahun
 
BAGAIMANA SEGALANYA BERMULA
 
Aiman dilahirkan normal seperti bayi lain. Menjalani kehidupan kanak-kanak seperti biasa. Tetapi semasa Aiman berumur 5 hingga 6 tahun Aiman  bersekolah di Tabika Perpaduan berhampiran pejabat lama saya. Masa tu memang saya menyedari Aiman tidak boleh membaca tapi saya beranggapan itu perkara normal untuk kanak-kanak seusia Aiman di pra persekolahan Tapi satu hari waktu Aiman baru seminggu bersekolah di Tahun 1 di SK Kebangsaan Sri Kinta Aiman balik mengadu sambil menangis pada saya yang dia sedih sebab tak tahu membaca. Dia susah nak terima apa yang cikgunya ajar. Saya pujuk dan minta dia bersabar sebab pasti satu hari dia boleh membaca macam kawan-kawan dia yang lain. Tapi seminggu selepas tu saya telah dipanggil oleh Guru Hal Ehwal Murid untuk datang ke sekolah untuk berbincang pasal Aiman. Dalam hati terpikir "apa pulak anak aku dah buat ni awal-awal dah kene panggil dengan HEM ni". Saya terus jadi tak sedap hati tapi saya datang juga berjumpa guru HEM tersebut seperti yang diminta.
 
AIMAN TIDAK SEPERTI PELAJAR NORMAL

Dari apa yang diberitahu oleh guru HEM melalui  guru kelas Aiman ialah Aiman berlainan dari pelajar biasa kerana tidak boleh menumpukan perhatian terhadap guru yang mengajar di hadapan,  sukar menerima arahan dari guru, gemar melihat ke luar kelas, menulis secara terbalik dan langsung tidak memahami apa yang diajar oleh guru. Saya diminta untuk membawa Aiman berjumpa dengan pakar untuk merujuk keadaan Aiman dengan lebih lanjut lagi.

TIDAK FOKUS DALAM KEHIDUPAN HARIAN

Sesuatu yang saya memang nampak Aiman tidak boleh fokus dalam semua benda yang dibuatnya. Contohnya ketika Aiman makan dia tidak boleh duduk setempat. Walaupun sudah diajar adab sewaktu makan tapi Aiman tetap bersikap sama. Pernah juga suatu hari saya meminta Aiman mengambil hand bag saya berwarna hitam tapi Aiman mengambil scarf tudung saya juga berwarna hitam. Aiman sukar menerima arahan itu yang saya boleh nampak.

BAWA KE KLINIK KESIHATAN

Pada mulanya saya membawa Aiman berjumpa dr di klinik kesihatan biasa kemudian setelah mendapat surat  barulah Aiman dirujuk ke Pakar Pediatrik di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh. 

RUJUKAN PAKAR PEDIATRIK
Setelah membuat temujanji Aiman telah dirujuk dengan seorang Dr pakar Pediatrik bernama Dr Wong. Jadi melalui pemeriksaan yang dilakukan oleh Dr Wong Aiman disahkan mengidap Disleksia. Pada mulanya saya pun  tak tahu apa tu Disleksia ni. Memang saya rasa asing sangat soal ni tapi akhirnya saya faham setelah diberi penjelasan yang jelas oleh Dr Wong. Jadi saya tahu ramai antara kita yang tak tahu apa itu Disleksia. So hari ini saya akan kongsikan mengenai Disleksia ini bersama anda semua.
 
APA ITU DISLEKSIA?
 
Perkataan Dislesia diambil dari istilah Yunani iaitu dys bermaksud 'sulit dalam' dan lex (diambil daripada legein) yang bermakna 'bercakap'. Secara kesimpulannya disleksia bermakna menderita kesukaran yang berhubungan dengan kata atau simbol-simbol tulisan.Disleksia bukanlah suatu penyakit, tetapi merupakan salah satu gangguan dalam pembelajaran yang biasanya dialami oleh kanak-kanak seperti membaca, menulis, megeja dan kemahiran mengira. Oleh itu Disleksia merujuk kepada mereka yang menghadapi masalah untuk membaca dan menulis walaupun mempunyai pemikiran yang normal.



Tafsiran Otak pengidap disleksia
 
CIRI-CIRI PENGIDAP DISLEKSIA
 
  • Perkembangan bahasa atau pertuturan yang lambat
  • Pergerakan pergelangan tangan yang agak kekok
  • Hasil penulisan yang tidak kemas dan comot
  • Menulis dengan lambat
  • Ejaan yang lemah
  • Kebolehan membaca 2 tahun kebelakang
  • Tidak mempu melahirkan idea dalam bentuk tulisan
  • Mudah merasa tertekan dan emosional
  • Kesukaran mendiskriminasikan pandangan dan pendengaran. Kesukaran mengeja, membaca, menulis dan mengira
  • Kecelaruan dalam menerima pelbagai arahan
  • Pelajar lemah dalam satu-satu pelajaran tetapi baik dalam mata pelajaran tertentu.  Kelihatan cerdik tetapi lembam. Menghadapi masalah “hyperactive, apasia dan attention dificit disorder” (ADD)
  • Kecelaruan pandangan dan penglihatan. Kesukaran membatang perkataan. Kesukaran dan gemar meninggalkan huruf pada pangkal perkataan. Sering membaca dalam keadaan tidak ceria
  • Kecelaruan pandangan dan penglihatan. Menunjukkan pertuturan, penambahan, penggantian atau pengulangan perkataan dan nombor semasa membaca atau menulis
  • Mengeja dengan tidak konsisten. Susah atau tidak memahami perkataan yang dibaca atau ditulis
  • Kecelaruan pandangan dan penglihatan
  • Cepat penat apabila membaca
  • Mempunyai masalah ingat pandang dan ingat dengar
  • Bermasalah dalam susunan dan turutan huruf serta nombor
  • Kekeliruan arah kiri, kanan, atas, bawah, depan, belakang dan sebagainya
  • Kebalikan huruf atau nombor tertentu. Keliru dengan abjad tertentu,b/d,p/q,m/w,n/u. Kecelaruan  pandangan dan penglihatan
  • Sering berangan-angan
  • Masalah menyalin atau meniru dari papan tulis
  • Masalah mengeja
  • Sukar memberitahu waktu atau menepati masa
  • Sukar mengingati simbol matematik
  • Suka mengacau dan membuat huru hara dalam kelas
  • Sering mengalami kesukaran dalam haluan yang berliku
  • Sukar mempelajari turutan ketika berpakaian
  • Sukar memakai kasut mengikut kaki yang betul
  • Lemah daya ingatan. Menghadapi “short attention span”
  • Sukar berkawan dengan rakan sebaya
  • Berkelakuan menganggu secara tiba-tiba. Suka menarik perhatian
  • Bermasalah memasukkan dan menyusun tali kasut dalam lubang dengan betul
  • Masalah memegang pensil dengan betul
  • Masalah dalam aktiviti menekap
  • Masalah menggunakan sudu,garfu atau pisau ketika makan
 
 

SETIAP ANAK ADALAH ANUGERAH TERINDAH DALAM KEHIDUPAN



Sebagai ibu bapa kita jangan malu andai mempunyai anak yang istimewa ini. Setiap anak adalah anugerah terindah dalam hidup kita. Syukur atas segala kurniaan Allah. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam memberi sepenuh sokongan  untuk mereka menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak lain. Jangan letakkan jurang pada anak-anak ini dan kita wajib memberi kesamarataan kepada mereka dalam apa jua keadaan. Banyakkan berdoa agar mereka boleh berjaya dalam hidup satu hari nanti.


Apakah tindakan saya seterusnya setelah Aiman disahkan mengidap Disleksia? Jemput baca kisah selanjutnya nanti dalam Aiman Anak 
Disleksia (Part 2).


* Jika anda rasa entri ini memberi manfaat buat anda dan orang ramai di luar sana, sila tekan butang LIKE dan dipersilakan SHARE. Semoga ilmu ini dapat dipanjangkan dan menjadi salah satu pencen kubur kita semua.
      
         

Apa Komen Anda

0 comments:

Post a Comment