Thursday, December 18, 2014

MEMBUKA PINTU REZEKI DENGAN DHUHA

Salam sejahtera, salam ceria untuk semua pembaca blog mamadanialdania. Saya doakan apa yang kita lalui hari ini lebih baik dari kisah semalam, mudah-mudahan Allah kabulkan. In Shaa Allah.
 
Saya masih lagi bercuti panjang selama seminggu menjaga anak bujang saya yang baru lepas berkhatan. Boleh baca perkongsian pengalaman saya di di sini. Tapi dalam kesibukan tugas menguruskan anak yang belum sembuh dan juga urusan rumahtangga rutin melakukan solat dhuha saya masih lagi seperti biasa. Alhamdulillah saya ingin konsisten melakukannya jika diizinkan oleh Allah.
 
Dulu-dulu masa saya masih bujang ketika duduk menumpang di rumah makcik saya di Kl setiap hari pada seawal jam 8.00 pagi  saya akan melihat Makcik saya melakukan solat. Mula-mula pelik juga dan hati bertanya sendiri "Eh!Mak Lang ni solat apa pulak pagi-pagi hari ni". Bila ditanya solat apa DHUHA katanya. Masa tu tak ambik kisah sangat. Cuma saya mula mengamalkan solat Dhuha ini pada awal Tahun 2014. Walaupun kadang-kadang terbabas juga tapi selepas hari raya Aidilfitri yang lepas saya mula konsisten melakukan solat Dhuha ini. Hidup mula rasa tenang walaupun kadang-kadang ada juga masalah yang saya dihadapi. Alhamdulillah.

Betapa istimewanya Dhuha
 

APA ITU SOLAT SUNAT DHUHA?

Solat Sunat Dhuha boleh dianggap sebagai rasa terima kasih kita sebagai hambaNya kepada Allah SWT atas segala kurniaan hidup yang diberikan kepada kita. Selain itu juga solat ini bertujuan untuk memohon dibukakan pintu rezeki seluas-luasnya. Dicukupkan segala kekurangan di dalam kehidupan ini.

Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan solat ini tanpa keuzuran dan umat Islam amat dituntut melakukannya. Abu Hurairah pernah berkata: “Rasulullah SAW berwasiat kepadaku tiga perkara agar jangan ditinggalkan puasa tiga hari tiap bulan, dua raka’at Dhuha dan Witir sebelum tidur.”

Daripada Abu Dzar r.a., Rasulullah SAW bersabda: “Hendaklah masing-masing di antara kamu setiap pagi bersedekah untuk setiap ruas tulang badanmu. Maka tiap kali bacaan tasbih adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, dan setiap takbir adalah sedekah. Menyuruh kebaikan adalah sedekah, mencegah keburukan juga adalah sedekah. Dan sebagai ganti daripada itu semua, cukuplah mengamalkan dua rakaat solat Dhuha.”  (HR Ahmad, Muslim dan Abu Daud)

Nabi Muhammad SAW  bersabda: “Wahai anak Adam! Janganlah sekali-kali kamu malas mengerjakan empat rakaat solat Dhuha, maka akan aku cukupkan keperluanmu sehingga waktu petang.”(HR Al-Hakim dan At-Tabrani)


WAKTU SOLAT DHUHA

Solat sunat Dhuha dilakukan pada waktu matahari sedang naik. Boleh juga kita merujuk pada takwim waktu solat sekiranya cuaca tidak menentu.  Masanya adalah 28 minit selepas Syuruk, iaitu sekiranya waktu Syuruk 7.32 pagi dan ditambah 28 minit, jadi masuknya waktu Dhuha bermula jam 8.00 pagi. Tetapi yang afdal melakukan Solat Sunat Dhuha adalah anggaran matahari naik, tinggi segalah (7 hasta atau 3 meter) lebih kurang dalam pukul 9.30 pagi.

Zaid bin Arqam r.a. berkata: Nabi SAW keluar menuju tempat Ahli Quba, di kala itu mereka sedang mengerjakan Solat Dhuha. Baginda bersabda;  (HR. Ahmad, Muslim dan Tirmidzi).

 “Inilah solat orang-orang yang kembali kepada Allah, iaitu di waktu anak-anak unta telah bangkit kerana kepanasan waktu Dhuha.”
 

CARA MENGERJAKAN SOLAT DHUHA
 

Solat ini boleh dilakukan sekurang-kurangnya dua rakaat sehinggalah 12 rakaat, tetapi yang paling banyak dikerjakan oleh Rasulullah ialah lapan rakaat. Memadai jika kita dapat melakukan walau hanya 2 rakaat sahaja setiap hari.

 

1.  Niatnya:
 
 
2.  Antara surah-surah yang dianjurkan ulama ialah:
a.  Solat sunat Dhuha dua rakaat:
i/  Ayat al-Kursi 10 kali dan Al-Ikhlas 10 kali atau;
ii/  As-Syams dan Ad-Dhuha. atau;
iii/  Al-lail dan Al-Insyirah.
 
b.  Solat Dhuha lebih daripada 4 rakaat;
i/  Solat Pertama :   As-Syams dan Ad-Dhuha.
ii/  Solat Seterusnya :   Surah al-Kafirun dan Al-Ikhlas
  
3.   Semasa sujud terakhir bacalah sebanyak 40 kali:
 



DOA SOLAT DHUHA
 
 Doa Waktu Dhuha / Doa Murah Rezeki
اَللَّهُمَّ إِنَّ الضُّحَاءَ ضُحَاؤُكَ، وَالْبَهَاءَ بَهَاؤُكَ، وَالْجَمَالَ جَمَالُكَ، والْقُوَّةَ قُوَّتُكَ، والْقُدْرَةَ قُدْرَتُكَ، وَالْعِصْمَةَ عِصْمَتُكَ، اَللَّهُمَّ إنْ كَانَ رِزْقِيْ فِي السَّمَاءِ فَأنْزِلْهُ، وَإِنْ كَانَ في الأَرْضِ فَأَخْرِجْهُ، وَإِنْ كَانَ مُعَسِّرًا فَيَسِّرْهُ، وَإِنْ كَانَ حَرَامًا فَطَهِّرْهُ، وَإِنْ كَانَ بَعِيدًا فَقَرِّبْهُ، بِحَقِّ ضُحَائِكَ وَبَهَائِكَ وَجَمَالِكَ وَقُوَّتِكَ وَقُدْرَتِكَ، آتِنِيْ مَا آتَيْتَ عِبَادِكَ الصَّالِحِيْنَ.

Maksudnya : Ya Allah, Sesungguhnya waktu dhuha itu dhuhaMu, Kecantikannya kecantikanMu, Keindahannya keindahanMu, Kekuatannya kekuatanMu, Kekuasaannya kekuasaanMu, Perlindungannya perlindunganMu.

Ya Allah, Jika rezeki masih dilangit turunkanlah, Jika dibumi keluarkanlah, Jika sukar permudahkanlah, Jika haram sucikanlah, Jika jauh dekatkanlah.

Berkat waktu dhuha, KecantikanMu, KeindahanMu, KekuatanMu, KekuasaanMu,

Limpahkan kepadaku segala yang telah Engkau limpahkan,  kepada hamba-hambaMu yang soleh.
 
BERUSAHA MELAPANG DAN MELUANGKAN MASA
Setiap hari kita memang sentiasa sibuk. 24 jam seharipun kalau diikutkan memang takan cukup untuk kita menyelesaikan semua urusan kehidupan. Tapi apa kata lepas ni kita luangkan masa yang ada untuk menyerahkan diri kita pada yang Esa barang seketika. In shaa Allah, Allah akan cukupkan segala kekurangan baik dari segi masa dan rezeki kita. Yang penting terus berusaha dan salah satunya ialah dengan berterusan melakukan solat Dhuha. Mungkin disaat ini Allah belum mengurniakan kesenangan hidup pada kita tapi In Shaa Allah satu hari nanti Allah akan makbulkan jua permohonan kita. 



"Barangsiapa bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakkal kepada Allah niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya.”
(At-Thalaq 65 : 2 – 3)
 
Jika anda rasa entry ini bermanfaat untuk orang lain, mohon anda click button LIKE di bawah dan SHARE entry ini dengan rakan-rakan yang lain. Mungkin satu KLIK LIKE daripada anda dapat memberi manfaat pada yang lain. Terima kasih.
 




Apa Komen Anda

0 comments:

Post a Comment